Logo MAG - Website
Lot lidi – murah tapi berisiko

Keinginan individu untuk memiliki tanah pada harga yang murah dari kebiasaan telah membuatkan segelintir dari kita tidak mengambil peduli tentang status tanah terbabit. Antara yang mendapat sambutan dan aktif dijual di pasaran adalah tanah lot yang belum ada geran individu berasingan atau lebih popular dikenali sebagai lot lidi.


Lot lidi merujuk kepada tanah lot yang masih berstatus pertanian dan belum mempunyai geran individu berstatus bangunan, tetapi dijual sebagai lot bangunan, selalunya hanya berdasarkan kepada pelan lakaran yang belum diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).


Antara masalah yang biasa timbul terhadap pembeli tanah lot lidi adalah pembeli akan terdedah kepada unsur-unsur penipuan, penyelewengan dan perbalahan dengan penjual.


Kebanyakan penjual menjanjikan bahawa tanah lot akan menjadi milik pembeli selepas bayaran dijelaskan secara tunai. Pembeli dijanjikan akan mendapat geran individu dalam tempoh tertentu. Bagaimanapun, sebaliknya berlaku dan yang menjadi mangsa adalah pembeli.


Kebiasaannya lot lidi tidak mempunyai geran individu yang berasingan. Jika tiada geran tersebut, ianya mustahil untuk tanah lot itu dipindah milik kepada nama pembeli. Di bawah Kanun Tanah Negara, hak dan kepentingan pembeli terhadap sesuatu hartanah hanya akan diiktiraf undang-undang selepas ia didaftarkan pindah milik kepada nama pembeli dan sekiranya ini tidak berlaku, hak dan kepentingan pembeli terhadap tanah lot lidi itu tidak boleh dilindungi oleh undang-undang. Kesannya, hak dan kepentingan terhadap tanah itu masih boleh dipertikaikan atau dicabar mana-mana pihak di kemudian hari.


Selain itu, risiko yang dihadapi pembeli lot lidi ialah pembeli tidak dapat mengetahui kedudukan sebenar tanah kerana lot lidi tersebut belum disahkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara (JUPEN). Walaupun penjual menyediakan pelan lakaran (yang belum diluluskan PBT), namun di tapak, tanpa geran individu yang berasingan, ianya mustahil untuk pembeli dapat sahkan dimanakah kedudukan sebenar lot yang ingin dijual tersebut. Maka pembinaan rumah tidak boleh dilakukan di atas tanah lot lidi tanpa kebenaran PBT. Hal ini kerana kelulusan pelan bangunan diperlukan sebelum sesuatu bangunan kediaman boleh didirikan dan biasanya PBT akan melihat dahulu geran individu tanah lot itu.


Bukan itu sahaja, dengan ketiadaan geran tanah yang sah, sudah pasti tanah ini juga tidak boleh digadaikan kepada bank untuk dapatkan pembiayaan dan tanah ini juga tidak boleh diwariskan kepada waris apabila pembeli meninggal dunia. Dari segi perundangan tanah yang dibeli pada harga puluhan ribu ringgit itu sebenarnya masih menjadi hak pemilik asal kerana ia tidak dipindah milik secara rasmi kepada pembeli.


Akhir sekali, sekiranya tanah lot lidi tersebut diambil oleh kerajaan, pembeli tanah tersebut tidak layak mendapat pampasan. Di bawah Akta Pengambilan Tanah, pembeli tidak layak untuk mendapat pampasan dan bayaran akan diberikan kepada pemilik berdaftar.


Kesimpulannya, individu yang ragu mengenai status yang ingin dibeli boleh mendapatkan nasihat perundangan yang tepat untuk mengelakkan pembelian lot tanah lidi. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada peguam mengenai tindakan perundangan yang boleh dilakukan kerana tiada jaminan untuk mendapatkan semula duit tanah yang dibayar sekiranya ditipu penjual tanah lot lidi.