SHAH ALAM, 22 Oktober 2026 — Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Selangor dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh hubungan strategik antara industri pembinaan dan institusi pengajian tinggi.
Majlis yang berlangsung di MAG Factory, Elmina Business Park, Selangor, pada jam 2.00 petang ini melibatkan IDr. Dr. Muhsin Dr Abdul Ghani, selaku Pengerusi PKPM Selangor, bersama Profesor Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi, wakil UiTM Shah Alam.
Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang seni bina, reka bentuk dalaman, pembinaan dan pembangunan perumahan.
Antara fokus utama kerjasama termasuk penempatan pelajar latihan industri bersama syarikat ahli PKPM Selangor, perkongsian kepakaran profesional, penganjuran kuliah industri serta pembangunan program akademik dan industri secara bersama.
Menurut IDr. Dr. Muhsin Abdul Ghani, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam menyediakan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman praktikal secara langsung daripada pemain industri.
“PKPM Selangor komited menjadi jambatan antara institusi akademik dan industri bagi melahirkan graduan yang lebih kompeten, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran sebenar sektor pembinaan negara,” katanya.
Kerjasama strategik antara PKPM Selangor dan UiTM Shah Alam ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat, pemindahan ilmu dan penglibatan profesional industri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serta industri pembinaan Malaysia.
