29 JULAI 2026
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak Diploma Teknologi Rekabentuk Dalaman, UiTM Seri Iskandar, Perak atas jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Dalam Talian (Round Table Discussion) Semakan Silibus Industri dan Alumni yang telah berlangsung pada 29 Julai 2026.
Saya amat menghargai peluang yang diberikan untuk berkongsi pandangan serta pengalaman industri dalam usaha memperkukuh dan menambah baik kandungan silibus agar terus relevan dengan keperluan semasa industri.
Antara cadangan yang telah saya kemukakan mewakili perspektif industri ialah:
1. Meminda pelaksanaan latihan industri ke semester akhir bagi memberi ruang kepada pelajar diserap terus ke dalam sektor pekerjaan sebaik sahaja tamat tempoh latihan industri. Pendekatan ini dapat mengurangkan jurang antara alam pembelajaran dan alam pekerjaan serta meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.
2. Menambah baik kandungan pembelajaran berkaitan aspek pembinaan dan perkilangan, supaya pelajar bukan sahaja mahir dalam aspek reka bentuk, malah turut memiliki pengetahuan serta kemahiran praktikal dalam proses pembuatan, fabrikasi, pemasangan dan pelaksanaan projek secara lebih holistik.
Semoga hasil perbincangan ini dapat memberi manfaat kepada pihak universiti, industri dan bakal graduan pada masa hadapan. Kerjasama erat antara institusi akademik dan pemain industri amat penting dalam melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing serta benar-benar memenuhi keperluan industri.
Sekali lagi, terima kasih atas kepercayaan dan jemputan yang diberikan. Semoga hubungan strategik antara UiTM dan pihak industri akan terus diperkukuhkan demi pembangunan pendidikan dan industri negara.
IDr. Dr. Muhsin Abdul Ghani
Presiden, Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM)
Pengarah Urusan, MAG Architect Sdn. Bhd.
